...

Konsep Pendidikan Bersepadu Serta Penerapan Nilai

by user

on
Category: Documents
1

views

Report

Comments

Transcript

Konsep Pendidikan Bersepadu Serta Penerapan Nilai
Konsep Pendidikan Bersepadu Serta Penerapan Nilai-Nilai Murni Dalam Pengajaran
Matematik Menengah Rendah
Abdul Rahim Bin Hamdan & Azharul Nizam Bin Zahari
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia.
Abstrak : Objektif kajian ini ialah untuk mengkaji sejauhmana tahap kefahaman guru terhadap
konsep pendidikan bersepadu serta pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni di dalam pengajaran
oleh guru-guru matematik(kumpulan sasaran) di sekolah-sekolah menengah di daerah Manjung.
Kajian ini melibatkan 70 orang guru yang mengajar matematik tingkatan satu,dua dan tiga di 10
buah sekolah menengah di daerah Manjung, Perak. Rekabentuk kajian yang digunakan adalah
berbentuk deskriptif dengan menggunakan soal selidik. Data kajian dianalisis menggunakan
perisian SPSS 15 dan melibatkan kaedah statistik seperti kekerapan, peratusan, min dan juga
ujian t. Hasil daripada analisis yang telah dijalankan mendapati guru-guru matematik memahami
konsep pendidikan bersepadu seperti pengabungjalinan diantara subjek agama dan matematik.
Guru memahami bahawa konsep asas pendidikan bersepadu ialah hubungan kesepaduan diantara
unsur agama, emosi, rohani dan intelek amat perlu di dalam mendidik pelajar. Guru-guru juga
mempunyai sikap yang positif di dalam melaksanakan penerapan nilai-nilai murni di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Hasil daripada dapatan kajian mendapati bahawa terdapat
perbezaan yang signifikan diantara guru lelaki dan guru perempuan tentang kefahaman konsep
pendidikan bersepadu dan pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni di dalam pengajaran dan
pembelajaran. Sebagai cadangan, guru haruslah memantapkan lagi kefahaman mereka tentang
konsep pendidikan bersepadu dan menunjukkan contoh yang baik supaya pelaksanaan penerapan
nilai-nilai murni dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Sokongan, kerjasama dan pemantauan
oleh semua pihak terutama daripada pihak –pihak atasan seperti pengetua, pejabat pelajaran
daerah, jabatan pelajaran negeri dan kementerian pelajaran Malaysia amatlah diperlukan agar
pelaksanan penerapan nilai-nilai murni dapat dilaksanakan dengan baiknya selari dengan
kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Katakunci : konsep pendidikan bersepadu, nilai-nilai murni, pengajaran matematik.
Pengenalan
Wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr
Mahathir Mohamad ialah untuk menjadikan Malaysia negara maju, dengan masyarakat Malaysia
yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang
demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif
dan makmula, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing,
dinamik, cergas dan kental.
Pendidikan ialah faktor penting di dalam sistem kehidupan manusia. Bentuk dan aliran
pendidikan yang menjadi faktor mengubah kehidupan manusia. Sistem dan konsep pendidikan
haruslah menitikberatkan tentang pembangunan insaniah dan tidak hanya menumpukan kepada
pembangunan aspek fizikal sahaja. Berdasarkan kepada konsep Falsafah Pendidikan Kebangsaan
ia bertujuan untuk meninggikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan
seimbang dari segi jasmani,emosi intelek, dan rohani (JERI) berdasarkan kepada kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan. Ia selaras dengan matlamat Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) iaitu membantu murid-murid memperkembangkan potensi dari segi JERI
secara menyeluruh dan bersepadu. Pelajar yang berkembang secara menyeluruh dan bersepadu
adalah aset penting pembangunan negara.
Dewasa kini kita sering dihidangkan dengan cerita masalah-masalah disiplin remaja
sekolah seperti gejala ponteng sekolah, gangsterisme, merokok, melawan guru, buli, vandalisme,
maksiat dan banyak lagi masalah disiplin yang melibatkan pelajar sekolah. Masalah disiplin yang
menular dikalangan pelajar sekolah kini ialah bukan masalah yang harus kita lihat sebagai
masalah yang remeh tetapi sebagai satu masalah nasional.
Penyataan masalah
Menurut Mok Soon Sang (2003), guru bukan sahaja mengajar dan memberikan
pengalaman yang ada padanya kepada pelajar malah mempunyai peranan lain. Guru juga
diharapkan menjadi pengganti ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam
pembentukan sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada murid-murid, menjadi pengamal dan
penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya menjadi teladan kepada masyarakat. Guru
diharapkan menjadi agen pembaharuan di dalam masyarakat. Guru harus sentiasa berusaha
menanam sikap, nilai dan ilmu pengetahuan kepada generasi baru ke arah pembinaan masyarakat
yang maju serta mempunyai nilai sosial yang tinggi.
Menurut Mary Warnock di dalam Munirah Ahmad Darsuki (2004) masalah disiplin
pelajar di sekolah dan isu moral memang tidak dapat dibendung lagi. Masalah ini dilihat semakin
hari semakin meningkat. Seperti yang diketahui umum kegiatan maksiat, merakam video lucah,
merogol, lumba haram, penyalahgunaan dadah dan membunuh adalah antara masalah sosial
remaja yang menular di negara kita sekarang. Seringkali kita dipaparkan di dalam media tentang
perkara-perkara ini. Hal ini terjadi kerana kurang penerapan nilai-nilai murni di kalangan remaja
dan kurangnya kesedaran dalam diri remaja tersebut.
Sistem pendidikan yang hanya mentitikberatkan akademik semata-mata dan tidak
memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek pendidikan akhlak dan rohani yang sihat
akan mewujudkan generasi yang mempunyai keahlian dan kepakaran dalam bidang keilmuan
tetapi kurang menghargai akhlak dan agama dalam profesion dan kehidupan mereka.
Konsep ilmu yang hanya bersandarkan rasional, empirikal dan kaedah saintifik, gagal
melahirkan manusia yang bersepadu dan berakhlak. Masyarakat moden hari ini lebih ramai yang
menderita akibat nilai negatif yang terdapat pada konsep ilmu sekarang.(Mohd Kamal Hasan,
1988).
Penerapan nilai-nilai murni di dalam proses pengajaran dan pembelajaran haruslah tidak
dipandang remeh oleh guru dan ia bukan hanya sekadar ditulis di dalam buku rancangan
mengajar tetapi seharusnya guru-guru menerapkan unsur nilai-nilai murni di dalam pengajaran.
Masalah ini mungkin timbul kerana kekangan waktu atau kurang kefahaman guru tentang konsep
pendidikan bersepadu dan nilai-nilai yang terkandung dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah. Sebagai seorang guru kita memegang amanah untuk menjalankan dasar-dasar negara.
Peranan guru di dalam menjalankan dasar ini amatlah besar dan penting. Justeru itu kajian ini
dilakukan bagi mengetahui sejauhmanakah kefahaman guru mengenai konsep pendidikan
bersepadu serta kepekaan guru dalam mengamalkan penerapan nilai-nilai murni dalam
pengajaran.
Objektif Kajian
Konsep pendidikan bersepadu dan penerapan nilai-nilai murni ialah merupakan aspek
yang penting di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Kefahaman guru-guru matematik sebagai
pelaksana agenda pendidikan haruslah diambil perhatian. Justeru itu objektif utama kajian ini
secara umumnya ialah meninjau pandangan guru bagi mengetahui kefahaman konsep pendidikan
bersepadu serta penerapan nilai-nilai murni di dalam pengajaran matematik di sekolah. Secara
khususnya objektif kajian ini ialah :
a) Mengenalpasti tahap kefahaman guru-guru matematik terhadap konsep pendidikan
bersepadu.
b) Mengenalpasti tahap pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni guru-guru matematik dalam
pengajaran yang dilakukan
c) Mengenalpasi perbezaan tahap kefahaman konsep pendidikan bersepadu di antara guru-guru
matematik lelaki dan perempuan
d) Mengenalpasti perbezaan tahap pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni di antara guru-guru
matematik lelaki dan perempuan di dalam pengajaran
Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk kajian ialah garis panduan, rancangan strategi yang disediakan bertujuan
untuk menjawab soalan penyelidikan dengan mengawal ralat yang dapat mempengaruhi
keputusan kajian. Kajian ini adalah berbentuk deskriptif. Dengan menggunakan instrumen kajian
iaitu soal selidik, semua perolehan data akan dianalisis dan diterangkan secara deskriptif. Data
yang dianalisis diperolehi dari soal selidik yang diedarkan kepada guru-guru yang mengajar
Matematik di menengah rendah. Semua dapatan akan diklasifikasikan mengikut aspek yang
ditetapkan dan ditafsirkan secara kuantitatif. Penganalisisan data kajian akan meliputi latar
belakang responden, kefahaman guru-guru matematik terhadap konsep pendidikan bersepadu,
pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni guru-guru matematik dalam pengajaran dan pengajaran.
Maklumat yang dapat akan digunakan bagi pengujian Hipotesis Null. Terdapat tiga bahagian
soal selidik yang digunakan bagi mengumpul data seperti berikut:
Bahagian A : Soal selidik mengenai latar belakang responden. Bahagian ini mengandungi
soalan-soalan untuk mendapatkan jantina, tempoh perkhidmatan, kelas di ajar dan
lokasi sekolah tempat mengajar.
Bahagian B : Soal selidik mengenai kefahaman responden terhadap pendidikan bersepadu
Bahagian C : Soal selidik mengenai penerapan nilai-nilai murni responden terhadap pengajaran
matematik di sekolah menengah.
Rasional pembahagian soal selidik kepada tiga bahagian ialah bagi untuk memastikan
segala maklumat yang akan dapat menjawab segala persoalan kajian dan juga maksud kajian
akan diketahui dengan lebih jelas dan mendalam lagi.
Bahagian B dan C terdiri daripada 42 item. Item-item ini menggunakan Skala Likert.
Menurut Azizi Yahya et al.(2007), Skala Likert didapati sesuai untuk mengukur persepsi dan
pandangan guru berhubung isu atau perkara. Skala ini digunakan bagi memberikan gambaran
yang lebih jelas terhadap maklumbalas responden.
Populasi dan Sampel Kajian
Menurut Mohd Majid Konting(1994) sampel ialah sekumpulan kecil yang dipilih dan
diambil bagi mewakili populasi yang besar.Populasi kajian terdiri dari guru-guru yang mengajar
matematik menengah rendah di daerah Manjung, Perak.
Kajian ini akan dijalankan di sepuluh buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah
Kebangsaan Seri Manjung, Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam, Sekolah
Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai Remis, Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Samudera, Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat Beruas,
Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Perdana, Sekolah
Menengah Kebangsaan Raja Shahriman, dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Idris di
daerah Manjung Perak. Pemilihan sepuluh buah sekolah ini adalah berdasarkan latarbelakang
yang berbeza iaitu sebanyak lima buah sekolah ialah kategori luar bandar manakala lima buah
lagi ialah kategori bandar.
Menurut Najib (1999) sampel adalah sumber mendapatkan data. Prinsip persampelan
yang diamalkan adalah berdasarkan konsep kebarangkalian dan setiap elemen yang dipilih
adalah mempunyai peluang yang sama. Pada asasnya, persampelan adalah merupakan satu usaha
bagi seorang penyelidik untuk memperolehi maklumat daripada sampel yang dapat mewakili
populasi tersebut.
Kajian Rintis
Tujuan utama pelaksanaan kajian rintis ini adalah untuk mengkaji pekali
kebolehpercayaan setiap item dalam soal selidik. Kajian rintis ini telah dijalankan di kalangan
guru-guru yang mengajar subjek Matematik di daerah Pontian, Johor. Borang soal selidik telah
diedarkan kepada mereka secara rawak bertujuan untuk mengetahui kebolehpercayaan dan
kesahan item-item soalan yang dibina oleh penyelidik. Menurut Kamaruddin Yakub (Modul
Kaedah Penyelidikan USM 1997) kajian Rintis ialah kajian penerokaan awal untuk menentukan
supaya proses penyelidikan akan berjalan dengan lancar dan akan memperolehi hasil seperti
yang dicadangkan. Seramai 10 orang guru matematik yang mengajar di sekolah menengah di
daerah Pontian telah diambil sebagai responden bagi kajian rintis ini.
Instrumen Kajian
Dalam menjalankan kajian ini, dua jenis data diperlukan dalam proses menyempurnakan kajian
ini iaitu data primer dan data sekunder.
Soal Selidik : Instrumen kajian yang digunakan adalah berbentuk soal selidik. Soal selidik yang
dibina adalah berdasarkan teori dan pendapat pakar dalam bidang dialog peradaban. Penyelidik
akan membina item-item soalan soal selidik dalam bentuk perilaku praktikal. Penggunaan soal
selidik lebih praktikal dan berkesan untuk populasi yang besar.
Soal selidik dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu komponen A yang berkaitan dengan
latar belakang respoden, komponen B yang berkaitan dengan kefahaman responden terhadap
pendidikan bersepadu dan komponen C yang berkaitan dengan penerapan nilai-nilai murni dalam
pengajaran.
Pengumpulan Data Sekunder : Bagi mendapatkan maklumat tertentu, data-data sekunder yang
sesuai diperlukan untuk menyokong huraian tersebut yang diperolehi melalui buku-buku, laporan
kajian, laporan persidangan, penyelidikan bertulis, jurnal, artikel majalah, surat khabar serta
artikel dan laporan dari internet.
Perbincangan
Item 2 menyatakan pendidikan matematik haruslah seimbang diantara ilmu agama dan
ilmu keduniaan. Seramai tujuh orang guru(10%) responden yang menyatakan tidak pasti
manakala bakinya 63 orang(90%) responden bersetuju dengan item ini.
Seramai dua orang yang(2.86%) responden yang menyatakan tidak bersetuju dengan item
3 iaitu sesuatu sistem itu akan lebih sempurna jika dibuat penggabungjalinan di antara subjek
agama dan matematik. Terdapat lapan orang(11.4%) responden yang menyatakan tidak pasti dan
60 orang(85.71%) responden pula bersetuju dengan item ini.
Bagi item 4 pula menyatakan pendidikan matematik memainkan peranan penting dalam
membentuk jati diri pelajar yang seimbang dari segi jasmani emosi dan rohani. Seramai empat
orang(4.3%) responden yang tidak bersetuju, lapan orang(11.4%) responden yang tidak pasti dan
59 orang(84.29%) responden yang bersetuju dengan item ini.
Item 5 iaitu konsep pendidikan matematik bersepadu sebenarnya agak abstrak dari segi
matl€amatnya. Seramai tujuh orang(10%) responden yang tidak bersetuju dengan penyataan ini
manakala 24 orang(34.3%) responden yang tidak pasti dan 39 orang(55.71%) responden
menyatakan setuju dengan penyataan ini.
Bagi item 6 pula menyatakan masalah gejala sosial dapat dikurangkan dan diatasi melalui
persepaduan antara ilmu matematik dan juga ilmu yang berteraskan akidah dan iman. Seramai
empat orang(5.7%) responden yang tidak bersetuju, 18 orang(25.7%) responden yang tidak pasti
dan majoriti iaitu seramai 48 orang(68.57%) responden bersetuju dengan penyataan ini.
Bagi item 7 pula menyatakan subjek matematik lebih sempurna jika disepadukan dengan
pelajaran yang lain supaya ianya akan menyeimbangkan pengajaran yang disampaikan. Seramai
empat orang(5.7%) responden menyatakan tidak bersetuju dengan penyataan ini. Seramai 11
orang(15.7%) responden yang menyatakan tidak pasti dan bakinya seramai 55 orang(78.57%)
responden menyatakan bersetuju dengan penyataan ini.
Item 8 pula iaitu sukar untuk mendapatkan buku tentang konsep pendidikan matematik
bersepadu bagi memantapkan lagi pemahaman tentang pendidikan bersepadu terdapat 10
orang(14.29%) responden tidak bersetuju, 26 orang(37.1%) responden yang tidak pasti dan
seramai 34 orang(48.57%) yang bersetuju dengan item ini.
Secara umumnya dari jadual 4.4 di atas menunjukkan bahawa secara keseluruhannya
tahap kefahaman guru matematik menengah rendah di daerah Manjung terhadap kefahaman
konsep pendidikan bersepadu dijelaskan dengan nilai purata min 3.9570. Ini bermaksud tahap
kefahaman guru matematik terhadap konsep pendidikan bersepadu adalah baik. Dari segi peratus
juga dapat dilihat dengan purata peratus bagi bersetuju ialah sebanyak 74.82% manakala yang
tidak bersetuju ialah sebanyak 6.07%. Ini menunjukkan tahap kefahaman guru-guru adalah
tinggi.
Perbincangan
Perbincangan yang dibuat adalah berfokuskan kepada keseluruhan kajian ini berdasarkan
dari analisis data dan dapatan kajian.
Pada secara keseluruhannya guru matematik menengah rendah daerah Manjung
memahami konsep pendidikan bersepadu serta melaksanakan penerapan nilai-nilai murni dalam
pengajaran. Ini membuktikan bahawa mereka telah mempunyai pengetahuan tentang konsep
pendidikan bersepadu dan seharusnya mereka telah memahami dan dapat melaksanakan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani dan intelek.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa pendidikan matematik haruslah seimbang
di antara ilmu agama dan ilmu keduniaan. Ini yang dikatakan matapelajaran merentas kurikulum.
Ini bermaksud pengajaran tidak bersandarkan kepada peperiksaan semata-mata tetapi ingin
melahirkan manusia yang mempunyai akhlak yang baik dan patuh pada agama tetapi pada masa
yang sama ia adalah manusia yang cemerlang.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa konsep pendidikan bersepadu ini agak
abstrak dari segi matlamatnya dan agak sukar bagi mendapatkan buku tentang konsep pendidikan
bersepadu. Ini menunjukkan bahawa mereka mengetahui tentang konsep pendidikan bersepadu
tetapi gambaran konsep itu tidak begitu jelas kerana ia terlalu abstrak dan kesukaran
mendapatkan buku bagi memantapkan lagi pemahaman menyebabkan mereka memahami
konsep itu secara sendiri. Ini selari dengan dapatan kajian William Baja Jap (1999) yang
mendapati guru menghadapi masalah memahami beberapa konsep kesepaduan dan penerapan
nilai-nilai murni kerana kekaburan penggunaan istilah dan bahasa yang tidak difahami serta
dianggap abstrak.
Guru-guru matematik berpendapat bahawa gejala sosial dapat dikurangkan dan diatasi
melalui persepaduan antara ilmu matematik dan juga ilmu yang yang berteraskan akidah dan
iman. Dengan penggabungjalinan antara ilmu matematik dan juga agama akan membolehkan
pelajar menuju kesempurnaan hidup dan mengurangkan masalah gejala sosial di kalangan
remaja.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru-guru bersetuju bahawa penerapan nilai-nilai
murni wajar dilaksanakan dalam pengajaran matematik bagi melahirkan pelajar yang seimbang
dari segi JERI. Ini juga dapat membina masyarakat yang bertamadun tinggi dan harmonis.
Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tingkahlaku guru-guru haruslah menunjukkan
contoh yang baik kerana mereka ialah cermin kepada pelajar.Ini sejajar dengan kenyataan dari
Pusat Perkembangan Kurikulum (1991) “...peribadi guru sendiri menjadi ukuran dan teladan
serta faktor utama kepada keberkesanan penerapan nilai-nilai murni. Ini kerana guru adalah
cerminan kepada murid.”
Dapatan kajian juga menunjukkan walaupun pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni
dijalankan oleh guru tetapi terdapat kekangan yang terpaksa dihadapi oleh guru seperti:
a) Kekangan masa menyebabkan sukar untuk melaksanakan penerapan nilai-nilai murni
dalam pengajaran matematik.
b) Pentadbir yang menekankan kepada penghabisan silibus dan kecemerlangan akademik
semata-mata.
c) Sukar untuk mendapatkan buku mengenai penerapan nilai-nilai murni bagi memantapkan
lagi pemahaman guru bagi melaksanakan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran.
d) Bilangan pelajar yang ramai dan juga datang dari pelbagai etnik menyukarkan
pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran.
Pandangan guru-guru terhadap masalah yang dihadapi haruslah diambil kira dalam
keberkesanan pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni . Walaupun terdapat kekangan yang
dihadapi guru haruslah melaksanakan penerapan nilai-nilai murni kerana merekalah yang
berkuasa dalam melaksanakan kurikulum di dalam kelas.
Dapatan kajian juga menunjukkan guru-guru lelaki menunjukkan kefahaman konsep
pendidikan bersepadu yang lebih rendah berbanding guru-guru perempuan. Di dalam
pelaksanaan penerapan nilai-nilai murni juga dapat dilihat bahawa pelaksanaan nilai murni oleh
guru lelaki adalah lebih rendah berbanding dengan guru wanita. Hasil ujian hipotesis satu dan
dua mendapati wujudnya perbezaan yang signifikan diantara jantina. Ini selari dengan kajian
yang dijalankan oleh Zalina Abd Rahman(1990) di dalam kajian “Pelaksanaan Nilai-Nilai Murni
Dalam KBSM” yang mendapati faktor jantina mempengaruhi pelaksanaan nilai-nilai murni.
Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa guru-guru matematik yang mengajar di
sekolah menengah tingkatan satu hinga tiga di daerah Manjung memahami konsep pendidikan
bersepadu serta melaksanakan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran .
Rujukan
Azizi Yahya et.al(2007). “Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan.” Kuala Lumpur : PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Bahamin Ibrahim (1993). “ Persepsi Pelajar Dan Guru-Guru Binaan Bangunan Sekolah
Menengah Vokasional Terhadap Penerapan Nilai-Nilai Murni.” Universiti Teknologi
Malaysia.
Hassan Langgulung(1977), “ Pendidikan Islam,Satu Analisa Sosio Psikologikal”. Kuala Lumpur:
Pustaka Antara.
Ibrahim Md. Noh (1995). Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Berasaskan Fahaman Binaan.
Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Matematik di Metro Inn. Kajang.
Kamaruddin Yakub (Modul Kaedah Penyelidikan USM 1997)
Munirah Ahmad Masduki (2004). “Penerapan Nilai-Nilai Murni KBSM Dalam Pengajaran Dan
Pembelajaran Di Kalangan Guru-Guru Sains di Lapan Buah Sekolah Menengah Di
Daerah Jitra Kedah” Universiti Teknologi Malaysia. Projek Sarjana Muda.
Nik Azis Nik Pa(1992). Agenda Tindakan: Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala
Lumpur : DBP
Rohani Dollah(1980), “Pendidikan Akhlak Mengikut Pandangan Islam”. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Sufean Hussin(1989). “ Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum” Shah Alam : Fajar Bakti
Tunku Sara Tunku Mohd Jiwa(2001). Penerapan Nilai Murni Di Dalam Pendidikan.”Universiti
Teknologi Malaysia.
Wan Zahid Noordin (1988). “ Ke Arah Pelaksanaan Nilai-Nilai Murni Di Dalam KBSM
:Falsafah Pendidikan Negara”. Kertas Kerja Seminar Nilai-Nilai Murni Merentas
Kurikulum Dalam KBSM. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Yahya Don(2006). “Psikologi sosial dalam pendidikan”. PTS Professional.
Zalina Abd Rahman(1990). “Pelaksanaan Penerapan Nilai-Nilai Murni Dalam Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah: Satu Tinjauan” Universiti Kebangsaan Malaysia
Fly UP