...

Teks Penuh - Jurnal Kanun

by user

on
Category: Documents
2

views

Report

Comments

Transcript

Teks Penuh - Jurnal Kanun
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
173
PERMASALAHAN PENDATANG ASING TANPA IZIN DI
MALAYSIA DARI ASPEK SOSIAL DAN PERUNDANGAN
(Problems Pertaining to the Social and Legal Aspects of Illegal
Immigrants in Malaysia)
Rusniah Ahmad
[email protected]
Mohamed Naiem Ajis
[email protected]
Saadon Awang
[email protected]
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok, Kedah Darul Aman, MALAYSIA.
Tel.: +604-9284298.
Abstrak
Makalah ini menyingkap masalah yang timbul hasil daripada trend migrasi
yang berlaku di Malaysia. Peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin
(PATI) menimbulkan pelbagai masalah dalam negara dari aspek sosial dan
perundangan yang harus diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.
Pihak kerajaan terutamanya telah melakukan pengawalan strategik untuk
menangani isu PATI di Malaysia agar mereka dapat diuruskan dengan cara
yang lebih efisien. Antaranya termasuklah mengurangkan kebergantungan
terhadap pekerja asing, meningkatkan kerjasama dengan negara sumber dan
juga pihak yang relevan dengan masalah ini. Tumpuan terhadap tindakan
penguatkuasaan tegas patut dijalankan di kawasan sempadan negara secara
dua hala, dan juga mengenakan hukuman yang berat mengikut lunas undangundang terhadap kesalahan berkaitan dengan PATI, tanpa mengira sama ada
mereka terdiri daripada pendatang asing ataupun warganegara Malaysia.
Kata kunci: aspek sosial, migrasi, perundangan, PATI, penguatkuasaan,
Abstract
This article will discuss the problems arising from migration trends in
Malaysia. The rising number of illegal immigrants has become an acute
problem from both social and legal points of view, and must be given due
attention by the authorities. The government has begun taking steps to deal
with the issue of illegal immigrants in a more efficient manner. Among these
174 KANUN [DISEMBER 2014]
is decreasing dependence on foreign workers, and increasing cooperation
with sourcing countries, as well as other related parties. Attention should
be given to strict two way enforcement at the border areas and the imposition
of stringent punishment in accordance with the law for offences relating
to illegal immigrants, notwithstanding whether they are illegal immigrants
or Malaysian citizens.
Keywords: social aspect, migration, illegal immigrants, legislation,
enforcement
PENDAHULUAN
Migrasi merupakan suatu fenomena tradisi di Malaysia. Fenomena ini menjadi
sebahagian daripada proses pembangunan ekonomi dan sosial bagi masyarakat
terdahulu. Dalam konteks sejarah, Malaysia telah menerima pekerja asing
sejak awal abad ke-20, apabila kerajaan kolonial Inggeris memperkenalkan
dasar imigrasi liberal. Akibat daripada dasar tersebut, ramai pekerja asing
terutamanya dari China, India dan Indonesia dibawa masuk dalam sektor
perladangan, pembinaan, perlombongan dan pentadbiran (Hugo, 1993).
Malaysia menjadi negara penyumbang dan penerima pekerja asing bukan
sahaja di rantau Asia Tenggara bahkan di dunia, dengan menyumbangkan
pekerja mahir dan mengimport pekerja kurang mahir. Namun begitu,
kebanyakan pekerja Malaysia yang bekerja di luar negara dalam jangka
panjang, manakala pekerja asing di Malaysia lebih kepada pekerja kontrak
atau sementara (Kanapathy, 2006).
Perkembangan dan kemajuan ekonomi sesebuah negara akan membuka
lebih banyak peluang pekerjaan bukan sahaja kepada penduduk tempatan
tetapi kepada masyarakat luar. Malaysia, yang bilangan penduduknya sekitar
27 juta merupakan antara negara yang pesat perkembangan ekonominya
di Asia Tenggara. Keadaan ini menjadikannya sebagai tempat tumpuan
untuk mencari pekerjaan. Ledakan globalisasi yang semakin rancak
mengakibatkan setiap negara mengamalkan dasar buka pintu, menerima
kemasukan pekerja asing. Castells (1997) berpendapat bahawa kekayaan,
teknologi dan kuasa antarabangsa telah mengakibatkan masyarakat dunia
mengalami perubahan yang pesat. Era globalisasi dan informasi dunia
telah meningkatkan integrasi ekonomi, dan kerajaan menghadapi masalah
untuk mengawal kawasan sempadan mereka sendiri.
Kemasukan pendatang asing terutama yang tidak sah dilihat dapat
mewujudkan masalah politik apabila faedah daripada migrasi tersebut tidak
dikongsi bersama dengan entiti yang wujud di sesebuah negara penerima.
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
175
Kanapathy (2008) mengatakan bahawa pengurusan migrasi merupakan
sesuatu tanggungjawab yang kompleks dan mempunyai cabaran yang
tinggi, ditambah dengan faktor keadaan geopolitik dan budaya yang amat
menyukarkan pihak berkuasa untuk mengawal pengaliran warga asing
terutama pendatang asing tanpa izin.
Dengan perkembangan aktiviti industri dan ekonomi yang pesat
di Malaysia, penerimaan kemasukan pekerja asing merupakan sesuatu
yang sukar dielakkan. Tambahan, pula kekurangan sumber tenaga kerja
tempatan bagi sektor tertentu menyebabkan peluang tersebut terbuka
kepada pekerja asing. Yang lebih membimbangkan ialah tarikan tersebut
telah menyebabkan berlakunya peningkatan terhadap jumlah pekerja asing
tanpa izin di Malaysia. Kemasukan pendatang asing yang banyak dan
tidak dikawal akan mewujudkan kesan sehingga mengancam kepentingan
negara penerima. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menggubal dan
melaksanakan pelbagai pendekatan untuk mengatasi pelbagai masalah
yang wujud akibat kemasukan pendatang asing. Pendekatan yang telah
diperkenalkan oleh kerajaan berbentuk penggubalan dasar dan peraturan
melalui kerjasama agensi yang berkaitan dengan negara pengeksport serta
kerjasama ASEAN.
MASALAH PATI DI MALAYSIA
Migrasi merupakan suatu proses dinamik yang berkaitan dengan liberalisasi
ekonomi pasaran, penawaran buruh asing dan dasar migrasi yang tidak
konsisten terutama oleh negara penerima. Keadaan ini telah mengakibatkan
situasi migrasi yang tidak dapat dikawal dan hal ini telah menjadi lebih buruk
dengan kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke sesebuah negara
(Shuto, M., 2006). Di Malaysia, kemasukan pendatang asing yang tidak
dikawal dan berterusan telah menjadi isu yang kritikal untuk ditangani oleh
kerajaan. Sejak beberapa tahun lalu, jumlah pendatang asing yang bekerja
telah dianggarkan seramai 2.3 juta orang atau 23 peratus daripada pekerja
yang ada di Malaysia. Daripada jumlah tersebut dianggarkan hampir separuh
daripadanya merupakan PATI yang telah menggunakan pelbagai saluran
untuk masuk ke Malaysia. Jumlah kemasukan yang banyak ini bertujuan
memenuhi keperluan tenaga buruh dalam sektor tertentu seperti perladangan,
pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan. Kebanyakan pendatang asing
yang bekerja di Malaysia terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak
mahir. Mereka datang dari negara yang mengalami lebihan penawaran buruh
176 KANUN [DISEMBER 2014]
seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, Vietnam dan Kemboja (Lin Mei,
2006; Ramasamy, 2004 dan Weiner, 1990).
Oleh sebab perkembangan ekonomi dan aktiviti pembangunan yang
berkembang pesat di Malaysia, permintaan terhadap tenaga buruh juga
meningkat dan keadaan ini telah mengubah struktur pasaran tenaga buruh
secara signifikan. Perkaitan antara aspek pembangunan di sesebuah negara
dengan proses migrasi menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Menurut
Appleyard (1989) perubahan pengaliran migrasi bergantung pada struktur
ekonomi sesebuah negara. Dasar migrasi bagi kedua-dua negara penerima
dan penghantar, dan jumlah serta komposisi migrasi yang wujud memberikan
impak kepada tahap pembangunan sosioekonomi. Oleh itu, permintaan
tenaga kerja meningkat. Peningkatan ini bergantung pada perkembangan
ekonomi berdasarkan rancangan pembangunan nasional yang dilakukan
oleh kerajaan di negara penerima.
Perkembangan ekonomi Malaysia pesat terutama antara tahun 1970an hingga 1990-an. Transisi ekonomi daripada pertanian kepada industri
telah berlaku. Pada tempoh tersebut ekonomi Malaysia menunjukkan
perkembangan yang memberangsangkan dengan kadar purata 6.7 peratus
setahun. Dalam tempoh antara tahun 1991 hingga 1995 perkembangan
ekonomi Malaysia pada paras 8.4 peratus, iaitu lebih tinggi daripada
sasaran yang ditetapkan oleh negara, iaitu 7.0 peratus. Perkembangan ini
mengakibatkan kemasukan pekerja asing yang pada asalnya dihadkan
untuk sektor pembinaan dan pertanian telah merebak ke sektor lain seperti
pembuatan dan perkhidmatan. Sesetengah sektor seperti restoran, hotel,
pembantu rumah, pembantu jualan dan pekerja keselamatan juga telah
dikuasai oleh pekerja asing, yang sepatutnya dapat diisi oleh pekerja
tempatan (AHM Zehadul et al., 1999:27). Namun begitu, kegawatan
ekonomi yang berlaku pada 1999 telah menyebabkan tangkapan terhadap
PATI telah meningkat kepada 12 372 daripada 8499 pada tahun 1998.
Peningkatan PATI pada tempoh tersebut menunjukkan langkah yang lebih
tegas diambil oleh kerajaan dengan mengenakan peraturan yang ketat bagi
pengambilan pekerja asing.
Kemasukan pendatang asing terutama secara tidak sah telah mengundang
pelbagai masalah yang mengancam kesejahteraan dan kepentingan awam.
Mereka terlibat dalam aktiviti jenayah seperti merompak, membunuh,
meragut, pecah rumah, penyeludupan, dan pengedaran dadah. Kementerian
Dalam Negeri pernah mengumumkan bahawa seramai 14 809 daripada 37
446 banduan di Malaysia merupakan pendatang asing yang kebanyakannya
terdiri daripada PATI.
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
177
Jumlah ini dikatakan telah melebihi 28 peratus daripada kapasiti yang
dapat ditanggung oleh penjara di Malaysia (Wan Marzuki, 2008). Tambahan
pula, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM11.6 juta pada tahun
2008 terhadap 60 800 pendatang asing yang kebanyakannya PATI dan
setiap mereka yang ditahan di depot tahanan memerlukan perbelanjaan
sebanyak RM30 sehari. Kos ini hanya melibatkan pengurusan harian
dan tidak termasuk kos kesihatan (Utusan Malaysia, 3 April 2009). Di
samping itu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM30.2 juta untuk
menampung kos pengusiran 154 729 PATI bagi tempoh tiga tahun sejak
tahun 2007. Menurut Kementerian Dalam Negeri, pecahan perbelanjaan
tersebut meliputi RM8.7 juta kos bagi mengusir 28 849 PATI pada tahun
2009, RM11.7 juta untuk 60 800 PATI pada tahun 2008 dan RM9.8 juta
untuk 65 080 PATI pada tahun 2007 (Utusan Malaysia, 11 Disember 2009).
Situasi ini dilihat bukan sahaja mengancam kesejahteraan negara tetapi
memberikan bebanan kepada kerajaan terutama untuk menanggung kos
pengurusan PATI di Malaysia.
Mengikut seksyen 55E (7) Akta Imigresen 1959/63 pendatang asing
tanpa izin (PATI) ialah mana-mana orang, selain warganegara, yang
menyalahi seksyen 5, 6, 8, 9 dan 15 Akta tersebut atau Peraturan 39,
Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Secara umumnya keselamatan
negara boleh didefinisikan sebagai pengurusan sesuatu ancaman agar
kebebasan dapat ditegakkan atau pencegahan tindakan atau perbuatan orang
lain. Keselamatan negara adalah penting kepada sesebuah negara untuk
menyokong matlamat kerajaan yang memerintah dan memenuhi agenda
pembangunan untuk kebajikan rakyat. Maksud ini seiring dengan makna
yang ditakrifkan oleh Arnold Wolfers (1962), iaitu keselamatan negara
secara objektifnya membawa erti ketiadaan ancaman terhadap nilai yang
dibina dan secara subjektifnya bermakna ketiadaan ketakutan terhadap
ancaman tersebut. Oleh itu, keselamatan negara merupakan suatu konsep
yang luas merangkumi ketenteraman awam, keharmonian sesama agama
dan kaum, kekukuhan ekonomi, kebajikan sosial, kestabilan politik dan
tadbir urus yang baik. Konsep ini juga patut diselarikan dengan perubahan
masa kini dan perkembangan baharu terhadap makna keselamatan, iaitu
merangkumi keselamatan siber dan juga keselamatan makanan. Oleh itu,
kehadiran PATI termasuk dalam makna ancaman terhadap keselamatan
negara yang perlu diberikan perhatian yang serius.
Kehadiran PATI juga mengancam aspek sosial negara, terutamanya aspek
kesihatan. Terdapat dalam kalangan PATI yang bekerja di Malaysia tidak
melalui pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan, akibatnya telah membawa
178 KANUN [DISEMBER 2014]
bersama-sama penyakit yang berjangkit. Kebanyakan pekerja asing datang
dari negara mundur yang mempunyai tahap pengawalan kesihatan yang rendah.
Pada tahun 1992, kerajaan telah mengumumkan bahawa 30 peratus daripada
337 ribu pekerja asing telah dijangkiti HIV. Kerajaan telah mengeluarkan
peraturan supaya setiap pekerja asing yang ingin bekerja perlu melalui dua
proses pemeriksaan kesihatan, iaitu yang dilaksanakan di negara asal dan
juga di Malaysia (New Straits Times, 30 Julai 1992).
Di samping itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah
mendedahkan bahawa 80 peratus pekerja asing di sektor perladangan telah
dikesan sebagai pembawa virus HIV. Berdasarkan analisis dan pemerhatian
Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), kebanyakan kes HIV dalam kalangan
pekerja asing di sektor perladangan disebabkan oleh penyalahgunaan dadah
dan bukannya aktiviti seksual (Utusan Malaysia, 2 Mei 2008). Tambahan
pula, kebanyakan PATI wanita yang ditahan telah terlibat dengan aktiviti
pelacuran dengan bekerja di rumah urut, rumah pelacuran dan pusat hiburan
di bandar-bandar besar. Sebahagian mereka yang ditahan mempunyai permit
kerja dan pas lawatan sosial yang sah tetapi akhirnya terlibat dengan aktiviti
tidak sihat. Oleh itu, kerajaan telah memberikan amaran bahawa pelibatan
PATI dalam aktiviti pelacuran akan meningkatkan kadar penghidap HIV
di Malaysia (Utusan Malaysia, 2 Februari 2002).
Kehadiran PATI juga mendatangkan masalah yang berkaitan dengan
isu kewarganegaraan. Dalam Perlembagaan Malaysia ada menjelaskan
tentang perkara yang berkaitan dengan kewarganegaraan termasuklah
status warganegara, kelayakan sebagai warganegara dan prosedur untuk
memohon kewarganegaraan. Namun begitu, terdapat PATI yang telah berjaya
memperoleh dokumen pengenalan diri daripada sindiket haram. Mereka
hanya diminta membayar jumlah tertentu untuk mendapatkan pengenalan
diri palsu. Bahkan, terdapat sebahagian PATI yang berjaya memperoleh
kad pengenalan biru, iaitu yang dikhaskan kepada warganegara Malaysia
sahaja (AHM Zehadul et al., 1999:77).
Pada tahun 2008, kerajaan telah berjaya menumpaskan cubaan
seorang PATI di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri
palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini dilihat sangat
membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam
keselamatan negara (Berita Harian, 14 Mei 2008).
Pendatang asing merupakan salah satu elemen ancaman keselamatan
yang perlu diberikan perhatian sejak selepas Perang Dingin. Migrasi
antarabangsa dapat memberikan kesan kepada keselamatan antarabangsa
apabila lambakan pendatang asing yang tidak dikawal mengakibatkan tahap
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
179
keselamatan negara diancam dengan pelbagai bentuk ancaman keselamatan
yang baharu seperti hak asasi manusia, konflik etnik, sosial dan budaya,
demografi, ekonomi dan lain-lain (Kicinger, 2004).
Oleh itu, kehadiran PATI secara berterusan ternyata mendatangkan
pelbagai masalah dan memberikan ancaman kepada keselamatan negara.
Ancaman keselamatan yang dimaksudkan tidak terhad dari aspek jenayah
semata-mata, malah kehadiran PATI memberikan impak kepada aspek
kualiti kehidupan, sosial, budaya, kesedaran kesihatan, hubungan politik,
ekonomi dan lain-lain lagi. Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Chor
Chee Heung, pernah membangkitkan isu impak kemasukan pekerja asing
terutama dari Indonesia terhadap keselamatan negara di Parlimen. Beliau
menganggap walaupun keadaan mereka masih terkawal tetapi kerajaan
perlu memberikan perhatian kepada isu PATI secara serius kerana hal ini
boleh menggugat keselamatan negara (Liow, J.C, 2007).
Sementara itu, kerajaan juga telah melakukan pelbagai usaha bagi
membanteras kehadiran PATI di Malaysia. Kementerian Dalam Negeri
telah menegaskan bahawa usaha membendung kebanjiran PATI akan
dilakukan secara holistik dengan menjurus aspek pembentukan saringan
awal yang komprehensif sebagai syarat prosedur kemasukan. Tambahan
pula, isu PATI perlu dilihat dalam konteks yang besar dan tidak menjurus
kepada sesuatu kategori warga asing sahaja sama ada pekerja, pelancong
atau pelajar (Utusan Malaysia, 16 Januari 2010).
Pihak kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan
mewujudkan rangkaian kerjasama dengan negara luar, terutamanya negara
asal warga asing ini. Kehadiran PATI secara berterusan mendatangkan
implikasi terutama kepada negara penerima seperti Malaysia terhadap
masalah yang akan timbul. Masalah tersebut akan mengancam keselamatan
negara jika tidak dikawal. Tindakan drastik perlu diambil oleh pihak kerajaan
supaya jenayah rentas sempadan dapat dikawal dengan berkesan. Oleh
sebab itu, kita perlu mengetahui isu sosial yang wujud daripada fenomena
kemasukan PATI ke Malaysia supaya dapat diseimbangkan dengan tahap
pembangunan negara.
PERUNDANGAN DAN POLISI NEGARA TERHADAP
PENDATANG ASING TANPA IZIN
Sejak tahun 2006 Wawasan 2020 yang merupakan program kebangsaan telah
menyasarkan negara mencapai status negara maju pada tahun 2020. Pihak
kerajaan telah mengimplimentasikan Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2010)
180 KANUN [DISEMBER 2014]
sebagai program pembangunan lima tahun untuk menghadapi dengan lebih
gigih cabaran ekonomi, sosial dan kebudayaan dengan jangkaan peningkatan
KDNK 5.2 peratus kadar tahunan. Dalam rangka mencapai perancangan besar
ini Malaysia juga menyasarkan untuk menjadi negara industri dan bergerak pantas
ke arahnya. Peluasan kegiatan ekonomi ini menyebabkan negara memerlukan
tenaga buruh tambahan berjumlah tiga juta untuk bersedia memenuhi pasaran
tenaga buruh tempatan. Akibat daripada faktor penarik seperti pembangunan
pesat ekonomi Malaysia berlakulah peningkatan drastik jumlah pendatang asing
tanpa izin (PATI) yang masuk ke negara ini dan mereka dengan mudah mengisi
kekosongan keperluan tenaga buruh yang sedia ada.
Antara tahun 2005 hingga 2008 seramai 212 316 orang pendatang asing
tanpa izin telah ditahan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Malaysia menjadi
destinasi yang popular dalam kalangan pendatang tanpa izin terutama di rantau
Asia Tenggara. Seperti yang telah dijelaskan, kemasukan pekerja asing tanpa
izin mempunyai pelbagai implikasi sosioekonomi dan perundangan berkaitan
dengan kesan kehadiran mahupun mengenai hak dan status mereka di negara
ini, dan juga mengundang masalah seperti pelibatan dalam jenayah, kesihatan,
kemiskinan dan penyakit sosial.
Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini telah mendedahkan bahawa
dianggarkan 14 809 atau 39.5 peratus daripada 37 446 banduan yang terdapat
di penjara-penjara di Malaysia adalah dalam kalangan pendatang asing yang
kebanyakannya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Oleh itu,
kerangka yang komprehensif dengan adunan elemen dasar, perundangan dan
pengurusan strategik perlu diwujudkan supaya isu pendatang tanpa izin dapat
dikawal dan diuruskan dengan lebih berkesan.
Pada bulan Disember 2006, Syed Shahir, Presiden Malaysian Trade Union
Congress atau Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mengesahkan
bahawa terdapat kira-kira 1.8 juta pekerja asing berdaftar yang direkodkan dan
pada masa yang sama juga mengikut anggaran pihak kerajaan terdapat jumlah
yang sama untuk pekerja asing yang tidak berdaftar. Jumlah sebenar pekerja
asing yang tidak berdaftar boleh mencecah lima juta orang. Jumlah yang begitu
tinggi ini merupakan penyebab utama penggubalan polisi dan perundangan
terhadap PATI dilaksanakan, iaitu untuk mengawal migrasi pendatang yang
begitu ramai dan luar biasa.
Polisi merupakan satu ketetapan yang dilaksanakan melalui pengurusan dan
pentadbiran pemerintah yang dapat menggambarkan hasrat pemerintah dalam
sesuatu dasar yang menjadi pegangannya. Polisi ada ketikanya tidak terdapat
dalam sesuatu dokumen yang tetap tetapi perlu diselami dan disimpulkan
daripada perundangan, peraturan, ucapan menteri, surat pekeliling, dokumen
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
181
kementerian dan seumpamanya. Walau bagaimanapun, pada asasnya sesuatu
polisi tidak boleh dilaksanakan jika bertentangan dengan peruntukan sesuatu
undang-undang.
Kita mengetahui secara jelas polisi kerajaan Malaysia terhadap pekerja
asing yang masuk secara sah terkawal melalui perundangan yang bertujuan
sama. Permit kerja yang biasanya tidak dimiliki oleh PATI yang menyelinap
masuk ke negara ini diperuntukkan oleh undang-undang bertujuan untuk
mengawal kemasukan pekerja asing. Cara ini bukanlah aneh tetapi banyak
digunakan oleh kebanyakan negara di dunia. Setiap pekerja asing yang
didapati bekerja tanpa memiliki permit kerja ataupun memiliki permit kerja
yang telah tamat tempohnya akan dianggap pekerja ataupun pendatang
tanpa izin. Akta Pekerjaan 1955 memperuntukkan kewajiban ini kepada
setiap majikan dan perkara ini telah dipanjangkan lagi oleh Akta Imigresen
1959/1963 (Pindaan 2002). Justeru, penting untuk kita menganalisis polisi
imigresen di Malaysia bagi pekerja asing yang masuk secara sah ke negara
ini dan dengan itu kita dapat memahami mengapakah PATI menimbulkan
masalah besar kepada hasrat dan falsafah sebenar pemerintah terhadap
pekerja asing.
Polisi imigresen yang terdapat di negara ini adalah dalam tiga bentuk
permit seperti yang berikut:
1. Pas lawatan untuk pekerjaan sementara bagi pekerja tidak mahir atau
separa mahir.
2. Pas lawatan dalam pekerjaan profesional untuk pekerja mahir.
3. Pas pekerjaan untuk kakitangan ekspatriat.
Apabila memohon permit majikan perlu mengenal pasti bakal pekerja
dan menyatakan jenis kerja dan tempohnya. Sudah pastinya juga dengan
adanya sistem permit kerja ini kehadiran pekerja asing dapat direkodkan
dengan lebih jelas. Majikan juga perlu mengambil butiran mereka seperti
umur dan juga negara asal.
Jelas menggambarkan bahawa hasrat polisi ini adalah untuk tidak
mengasimilasikan pekerja asing ke dalam masyarakat tempatan ataupun
meningkatkan jumlah penduduk dengan cara yang sedemikian. Polisi
pengambilan pekerja asing hanyalah bertujuan memperoleh tenaga buruh
sementara bagi mengatasi keruncingan yang melanda sektor tertentu di
negara ini. Pekerjaan kolar biru biasanya memerlukan jumlah tenaga buruh
yang banyak yang tidak mampu ditampung oleh pekerja tempatan yang
lebih tertarik ke arah sektor pekerjaan yang lain. Oleh itu, kehadiran PATI
182 KANUN [DISEMBER 2014]
yang banyak bekerja secara haram dan tidak sah tidak membantu hasrat
kerajaan, malah mendatangkan banyak kesan negatif jangka panjang
sekiranya tidak di atasi secara lebih agresif.
KERANGKA LEGISLATIF
Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) merupakan kerangka legislatif utama
bagi sistem imigresen di Malaysia. Perundangan yang asal ialah Peraturan
Imigresen 1963. Perundangan lain yang juga turut digunakan ialah Akta
Paspot 1966 (Akta 150) yang memperincikan keperluan berkaitan dengan
pasport yang patut berada bersama-sama pembawa apabila memasuki
dan meninggalkan Malaysia termasuk memiliki visa yang relevan dengan
perjalanan. Perundangan utama yang berkaitan dengan kemudahan penahanan
dan penjara-penjara ialah Akta Penjara 1995 (Akta 537), Peraturan Penjara
2000 dan Peraturan (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Tahanan) Imigresen
2003. Sehingga kini terdapat perkembangan terbaharu yang berkaitan
dengan imigresen dan hal ehwalnya, iaitu Akta yang telah diperkenalkan
untuk mengawal masalah pemerdagangan manusia yang dinamakan Akta
Antipemerdagangan Orang 2007.
Sekiranya dikaji kandungan akta tersebut, peruntukan akta tersebut
tidak menyentuh langsung mengenai pemberian perlindungan yang khas
ataupun prosedur yang perlu untuk pemohon perlindungan suaka, pelarian
ataupun orang-orang yang diperdagangkan ataupun juga peruntukan khas
untuk kanak-kanak dan wanita termasuk wanita yang hamil. Oleh yang
demikian mereka yang dikenali sebagai “pelarian” tidak mempunyai apa-apa
pengiktirafan mengikut pandangan undang-undang Malaysia walaupun dia
mempunyai pengiktirafan daripada United Nations High Commissioner for
Refugees (UNCHR). Oleh itu, pelarian dan juga pelindung suaka tertakluk
pada Akta Imigresen sepertimana pendatang asing tanpa dokumen yang
lain, iaitu sekiranya mereka memasuki atau tinggal di Malaysia, mereka
akan bertanggungan untuk dikenakan hukuman penjara, rotan, ditahan dan
dibuang negeri. Walaupun dengan kekurangan ini mereka yang memperoleh
pengiktirafan daripada UNCHR dapat menikmati status asas de facto pada
peringkat kebangsaan, dan terdapat sedikit toleransi yang diberikan oleh
pihak penguat kuasa imigresen di Malaysia. Sebahagian besar daripada
tindakan yang telah diambil kadangkala termasuk dalam maksud yang
tidak jelas terutamanya selepas Akta Imigresen dipinda pada tahun 2002.
Terdapat hanya satu cara yang digunakan terhadap orang-orang yang
diberi status pelarian ataupun pemohon perlindungan suaka, iaitu melalui
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
183
pelaksanaan budi bicara oleh menteri di bawah seksyen 55 Akta Imigresen.
Seksyen 55 memperuntukkan pihak Menteri boleh mengeluarkan perintah
mengecualikan orang ataupun sekumpulan orang, secara mutlak ataupun
secara bersyarat daripada dikenakan mana-mana peruntukan Akta tersebut.
Permit ini dinamai IMM 13 yang memberikan status pelarian secara de
facto kepada kumpulan tertentu ataupun orang tertentu dalam tempoh 12
bulan dan boleh diperbaharu dengan bayaran yuran sejumlah RM90/-.
IMM 13 ini merupakan sejenis permit pendudukan sementara dan boleh
dikeluarkan di bawah mana-mana syarat yang ditetapkan oleh Menteri
berkenaan. Syarat-syarat boleh diberikan dalam pelbagai bentuk misalnya
sekiranya permit ini membenarkan pemegangnya mendapat akses pendidikan,
maka anak-anaknya boleh pergi ke sekolah awam walaupun masih tidak
ada koordinasi antara Kementerian Pendidikan dengan Jabatan Imigresen.
Dalam banyak keadaan pihak sekolah akan meminta visa ditunjukkan untuk
membolehkan anak-anak pelarian bersekolah.
Sehingga kini keputusan menteri tidak pernah dibuat berasaskan
maklumat yang diberikan oleh pemohon berkaitan dengan sebab mengapa
dia memohon pengecualian. Keputusan biasanya dibuat berdasarkan
kriteria yang tidak diketahui dan tidak mungkin akan dapat dicabar oleh
pihak yang memohon. Proses ini merupakan suatu pelaksanaan kuasa yang
tidak disemak oleh mana-mana pihak dan kadangkala proses IMM 13 telah
dihentikan begitu sahaja. Kelemahan sistem IMM 13 ini dicerminkan oleh
kehadiran sejumlah besar pelarian Rohingya yang telah lama berada di
Malaysia, iaitu lebih daripada 10 tahun.Tindakan untuk mendaftar pelarian
ini juga telah dihentikan dan keadaan ini mengakibatkan masalah tersebut
tidak dapat diselesaikan.
Hanya melalui tindakan pendaftaran sahajalah pihak kerajaan akan
dapat memastikan tidak berlakunya asimilasi kependudukan oleh PATI
yang sedang berlaku kini tanpa kawalan. Tidak ramai yang sedar bahawa
tujuan undang-undang imigresen diadakan adalah untuk mengekalkan
status pekerja asing ataupun status kependudukan yang lain yang perlu
ditangani dengan cara pemantauan yang teratur. Wujudnya golongan yang
tidak direkodkan atau didokumenkan akan menambahkan lagi masalah
sosial yang lain seperti masalah penyakit berjangkit dan juga masalah
keselamatan. Tambahan pula asimilasi berlaku secara terlindung kerana
ramai pelarian dan juga pelindung suaka ini telah lama tinggal di Malaysia,
dapat bertutur dalam bahasa Melayu dan juga bekerja menggunakan
kemahiran yang mereka miliki.
184 KANUN [DISEMBER 2014]
REMEDI DAN SANKSI PERUNDANGAN
Seorang bukan warganegara boleh ditangkap ataupun ditahan di bawah Akta
Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh ditahan lanjutan untuk tempoh
sehingga 14 hari sebelum dibawa ke hadapan seorang majistret. Majistret
kemudiannya akan mengeluarkan perintah untuk dia ditahan untuk tempoh
selama diperlukan oleh seorang pegawai imigresen ataupun pegawai polis
bagi tujuan penyiasatan kesalahan-kesalahan di bawah akta ataupun oleh
seorang pegawai imigresen untuk membuat soal siasat ataupun mengalihkan
(remove) orang itu ke tempat lain (Perenggan 51(5) (b)).
Seseorang yang dipercayai boleh dialihkan (removed) dan boleh
ditangkap tanpa waran oleh mana-mana pegawai imigresen ataupun seorang
pegawai polis kanan dan boleh ditahan di dalam mana-mana penjara, balai
polis atau depot imigresen untuk selama tempoh 30 hari sehingga perintah
pengalihan dibuat (seksyen 35). Seksyen 34(1) pula memperuntukkan
seseorang yang telah diperintah untuk dialihkan dari Malaysia, boleh
ditahan untuk tempoh yang perlu supaya urusan untuk pengalihan beliau
dapat dijalankan, tetapi orang itu boleh dibebaskan dengan syarat sekiranya
suatu rayuan telah dibuat terhadap perintah pengalihan itu mengikut seksyen
33(2). Oleh itu, penahanan boleh menjadi tanpa tempoh dan orang-orang
sedemikian boleh ditahan di mana-mana penjara, balai polis ataupun depot
imigresen ataupun mana-mana tempat yang diarahkan oleh Ketua Pengarah.
PATI juga biasanya melakukan kesalahan yang menyalahi seksyen 5,6,8,9
dan 15 Akta Imigresen 1959/63 berserta Peraturan-peraturan Imigresen
1963. Antaranya termasuklah masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan
yang tidak dibenarkan atau jalan yang tidak diwartakan, masuk dan tinggal
di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, masuk dan tinggal di Malaysia
setelah pas atau permit dibatalkan oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia,
tinggal di Malaysia setelah permit dibatalkan atau suatu pas tamat tempoh
dan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan. Kesemua kesalahan
ini melibatkan hukuman yang agak berat dengan denda setinggi RM10
ribu dan juga hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya
sekali. Hukuman yang paling ringan juga melibatkan denda atau penjara
sehingga enam bulan
Kesan yang jelas mengikut undang-undang ini ialah penahanan yang
dibuat di mana-mana depot imigresen adalah sah di sisi undang-undang
mengikut seksyen 51B. Perintah tahanan yang dibuat secara kuasa eksekutif
juga tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah yang bermakna bahawa
tidak ada semakan kehakiman yang boleh dibuat terhadap apa-apa dakwaan
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
185
penyalahgunaan kuasa. Kuasa perundangan yang diberikan kepada pegawai
penguatkuasa adalah agak luas bagi memudahkan penguatkuasaan dijalankan,
dengan syarat kuasa tersebut dijalankan secara berhemah dan menghormati
prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law). Dalam prinsip kedaulatan
undang-undang itu sendiri termaktub peraturan, iaitu setiap pihak harus
diberikan layanan hak sama rata sama ada dari segi hak terhadap prosedur
yang betul dan juga dari segi kemanusiaan. Kita juga tidak boleh lupa dengan
masalah pengiktirafan hak yang patut diberikan kepada wanita dan kanakkanak yang tidak berdosa yang menjadi mangsa penyeludupan imigran
dan perundangan ini. Walau bagaimanapun tidak bermakna jika kuasa
dijalankan dengan cara yang tidak adil dan menyeleweng pihak mahkamah
masih boleh menyemak tindakan pihak eksekutif jika terbukti yang telah
berlakunya perlanggaran terhadap hak asasi manusia yang amat serius.
Sebagaimana yang kita ketahui wanita dan kanak-kanak sepatutnya
diberikan layanan yang berlainan memandangkan mereka merupakan
golongan yang lemah dan mudah dianiayai. Pihak berkuasa patut melihat
masalah ini dengan lebih mendalam kerana keadaan di depot-depot tahanan
imigresen tidaklah sesuai untuk kanak-kanak terutamanya yang memerlukan
makanan yang bersih dan berkhasiat. Malahan, hak kanak-kanak untuk
mendapat pendidikan asas juga terabai. Kesemua perkara ini perlu dilihat
kerana tempoh tahanan yang lama akan menyebabkan kesengsaraan
berpanjangan di sesuatu kawasan yang sempit dan tidak mempunyai aliran
udara yang sesuai. Permintaan ini merupakan keperluan asas bagi seorang
manusia dan bukannya suatu permintaan yang mewah. Oleh yang demikian,
perkara sebegini perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
Oleh sebab kedudukan geografi Malaysia juga berada di tengah-tengah
negara ASEAN, kawasan ini menjadi lokasi strategik sebagai negara
destinasi ataupun transit yang digunakan bagi tujuan pemerdagangan orang.
Mengikut laporan Amnesty International, dianggarkan 700 000 orang telah
diperdagangkan pada tahun 2004 sahaja setiap tahun bagi tujuan seks. Di
Bangladesh, laporan United Nations International Children’s Emergency
Fund (UNICEF) menyatakan kira-kira 400 kanak-kanak dan wanita menjadi
mangsa pemerdagangan setiap bulan yang kebanyakannya berusia antara
12 hingga 16 tahun yang dipaksa bekerja dalam industri seks komersial.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang merupakan agensi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditugaskan memantau piawaian buruh,
pengkajian dan perlindungan masyarakat menganggarkan terdapat 12.3
juta orang bekerja sebagai buruh paksa, buruh tebus hutang, buruh paksa
kanak-kanak dan abdi seks dalam satu-satu masa dan keuntungan daripada
186 KANUN [DISEMBER 2014]
jenayah keji ini dianggarkan kira-kira ASD44.3 bilion setahun. Malang
sekali perkembangan ekonomi dan kemakmuran negara menjadi faktor
penarik kepada ramai pendatang asing yang juga membuka peluang kepada
peningkatan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan imigran.
Kini, bukan hanya wanita diperlakukan menerusi pengeksploitasian buruh
ataupun dijadikan buruh paksa tetapi kaum lelaki juga dianiayai dengan
dijanjikan dengan pekerjaan berbayaran lumayan yang palsu semata-mata.
Sebaik-baik sahaja tiba di destinasi tenaga kerja mereka disalahgunakan
apabila mereka dipaksa bekerja tanpa henti sehingga 18 jam sehari.
Istilah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang juga membawa
dua maksud yang berbeza walaupun kedua-duanya hampir sama.
Pemerdagangan orang bermaksud merekrut, mengangkut, memindahkan,
melindungi, menyediakan atau menerima seseorang bagi maksud eksploitasi.
Modus operandi sindiket ini termasuklah penggunaan ancaman atau
penggunaan bentuk tekanan lain, seperti penculikan, penipuan, kecurangan,
penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan dan memberikan
atau menerima pembayaran. Pemerdagangan orang ini sering kali dikaitkan
dengan aktiviti eksploitasi seksual, buruh paksaan atau khidmat layan
paksa dan perhambaan. Perbuatan perhambaan dan buruh paksa dilarang
sama sekali oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 dalam perkara 6 yang
melarang kedua-dua perbuatan yang sepatutnya tidak wujud lagi dalam
dunia yang serba canggih dan bertamadun. Perlembagaan Persekutuan
merupakan dokumen asas yang terpakai untuk semua orang dan perkara
6 memberikan hak tersebut tanpa diskriminasi.
Penyeludupan migran pula membawa maksud mengatur, memudahkan
atau merancang secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang
secara tidak sah ke dalam atau melalui atau pengeluaran seseorang secara
tidak sah dari mana-mana negara yang orang itu bukan warganegara atau
pemastautin tetap sama ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab
untuk mempercayai bahawa kemasukan atau pengeluaran orang itu tidak
sah. Penyeludupan migran termasuk perbuatan mengangkut, memindahkan,
menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau
perkhidmatan bagi tujuan tersebut.Walaupun dengan maksud berbeza keduadua jenayah ini kait-mengait kerana pada kebiasaannya kes penyeludupan
migran berpotensi untuk menjadi mangsa pemerdagangan orang.
Kerajaan telah mengambil langkah proaktif, dan menunjukkan
komitmennya membanteras jenayah ini dengan meminda Akta AntiPemerdagangan Orang 2007 dengan memasukkan kesalahan penyeludupan
imigran untuk dijadikan akta baharu yang kini dikenali dengan Akta
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
187
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang
dikuatkuasakan pada 15 November 2010. Pindaan juga meningkatkan
kadar penalti dan memperkasakan penguatkuasaan. Antara peruntukan
yang boleh dikatakan “bertaring” dalam undang-undang ini termasuklah
meletakkan kesalahan dan hukuman yang berbeza untuk kanak-kanak dan
bukan kanak-kanak (dewasa). Seksyen 12 memperuntukkan bagi kesalahan
memperdagangkan orang yang bukan kanak-kanak untuk dieksploitasikan
boleh dihukum dengan penjara tidak lebih lima belas tahun (15) dan juga
boleh dikenakan denda. Seksyen 13 bagi kesalahan memperdagangkan orang
yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dengan salah satu
cara atau lebih seperti yang disenaraikan oleh seksyen berkenaan seperti
ancaman, menggunakan kekerasan atau paksaan, pemelarian, penipuan,
perdayaan, penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan kedudukan orang yang
mudah terdedah kepada perbuatan pemerdagangan orang ataupun pemberian
atau penerimaan bayaran atau faedah untuk memperoleh kerelaan seseorang
yang mempunyai kawalan terhadap orang yang diperdagangkan.
Perbuatan mengeksploitasi diberi perhatian yang lebih serius apabila
mengikut seksyen 15 bagi kesalahan mendapatkan keuntungan daripada
pengeksploitasian orang yang diperdagangkan jika disabitkan boleh dihukum
penjara tidak lebih lima belas (15) tahun dan boleh dikenakan denda lima
ratus ribu ringgit tetapi tidak melebihi sejuta ringgit dan boleh dikenakan
denda. Unsur-unsur eksploitasi disentuh oleh Akta tersebut menunjukkan
yang kerajaan benar-benar ingin membanteras gejala tersebut. Langkah
serius kerajaan dalam menangani isu pemerdagangan orang ini telah
menaikkan taraf Malaysia ke Tahap (Tier) 2 (Dalam Pemerhatian), iaitu
usaha signifikan untuk mematuhi tahap antarabangsa, daripada Tahap 3
(iaitu negara yang tiada usaha untuk pematuhan standard minimum) dalam
Laporan Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat (TIP) 2010. Laporan
TIP ialah senarai kedudukan negara di dunia berdasarkan tahap pematuhan
standard minimum dalam memerangi pemerdagangan orang.
Usaha murni seharusnya dipuji, namun isu-isu berkaitan dengan hak
asasi manusia juga tidak boleh diketepikan. Walaupun PATI merupakan
masalah yang membebankan negara, tidak bermakna segala tindakan
yang diambil terhadap mereka boleh dijustifikasikan termasuk melayani
mereka secara tidak berperikemanusiaan. Perkara ini sentiasa berlaku di
mana-mana negara dan kebanyakannya dipolitikkan untuk meraih simpati
dan populariti.
188 KANUN [DISEMBER 2014]
Seyogia diingatkan bahawa kesemua PATI termasuk pelarian dan
pelindung suaka yang berada di Malaysia mempunyai identiti tersendiri di
negara masing-masing. Sekiranya pihak berwajib di Malaysia mengambil
tindakan yang keterlaluan, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan
negara-negara yang terlibat akan terjejas. Nama baik Malaysia sebagai
negara maju juga akan terpahat sebagai negara yang tidak menghormati
hak asasi manusia. Sekiranya perkara ini dianggap remeh maka tidak
wujud sebuah organisasi pada peringkat antarabangsa yang mengambil
berat mengenai kebajikan orang-orang tidak bernegara dan juga pelarian
seperti Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNCHR).
Tindakan deportasi dan menyediakan kemudahan sebelum deportasi
merupakan tanggungjawab negara transit walaupun agak membebankan
dari segi kewangan dan kos. Malaysia perlu menjelaskan perkara ini dengan
pihak Bangsa-Bangsa Bersatu dan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa
Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) agar dapat menangani masalah global
tersebut dengan lebih berkesan.
Menyedari adanya persepsi negatif penduduk tempatan terhadap pelarian
dan pelindung suaka, pihak UNCHR telah mengambil inisiatif melalui Dana
Perlindungan Sosialnya (SPF) untuk bekerjasama dengan berbagai-bagai
komuniti pelarian yang berada di Malaysia. Persepsi negatif rakyat tempatan
terhadap pendatang asing menimbulkan kekeruhan hubungan antara keduadua pihak. Pihak UNCHR pula tidak ingin perkara ini menjadi lebih serius.
Projek yang menyokong kehadiran bersama-sama secara harmoni kedua-dua
komuniti tempatan dan asing telah dirancangkan seperti bergotong-royong
membersihkan kawasan kejiranan dan program rukun tetangga yang dapat
mengurangkan keretakan hubungan tersebut. Malahan, usaha seperti ini
membawa mesej bahawa pendatang asing bukan merupakan ancaman
kepada rakyat tempatan. Ternyata projek sebegini mendapat reaksi positif
daripada penduduk di komuniti berkenaan kerana ada yang memberikan
sokongan kepada gotong-royong dengan menyediakan sarapan, minuman
dan juga menyertai projek berkenaan.
KESIMPULAN
Pihak penyelidik berpendapat bahawa kerajaan masih mampu berusaha
gigih untuk menangani masalah PATI termasuk pemerdagangan orang dan
penyeludupan imigran dengan lebih berkesan dan dengan itu juga menangani
masalah kedatangan PATI ke negara ini. Usaha yang dilaksanakan ada yang
telah menunjukkan kesan seperti proses pemutihan PATI dan program
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
189
penyelesaian menyeluruh PATI (6P) apabila mereka yang berdaftar dengan
program ini akan ditempatkan dengan majikan yang sah. Proses pemutihan
juga mengambil kira keperluan tenaga mereka di sektor tertentu. Usaha ini
juga berasaskan tindakan berperikemanusiaan kerana ramai antara mereka
telah ditipu oleh ejen dan syarikat penyumberan luar. Agak sukar juga apabila
tindakan penguatkuasaan dilakukan, pihak berwajib negara berkenaan campur
tangan dan mendesak agar proses pemutihan dijalankan. Pelan Tindakan
Kebangsaan Antipemerdagangan Orang pula menetapkan hala tuju dan fokus
dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang.
Pelan yang dirangka bagi tempoh lima tahun (2010-2015) itu merupakan
usaha murni kerajaan untuk bukan sahaja mematuhi standard antarabangsa
tetapi juga untuk membanteras jenayah kejam ini dan seterusnya menjaga
nama baik dan imej Malaysia di mata dunia.
RUJUKAN
AHM Zehadul, Mohd Asri Abdullah and Mohd Isa Bakar, 1999. Foreign Workers
in Malaysia: Issues and Implications. Kuala Lumpur: Utusan Publications
and Distributors Sdn Bhd.
Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Lembaga
Penyelidikan Undang-Undang. Kuala Lumpur: International Law Book Services.
Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, 2007. Kuala
Lumpur: International Law Book Services.
Akta Pekerjaan, 1955. Kuala Lumpur: International Law Book Services.
Akta Penjara, 1995. (Akta 537). Kuala Lumpur: International Law Book Services.
Appleyard, R., 1989. “International Migration Concept” dlm. Appleyard, R (ed).
The Impact of International Migration on Developing Countries. Paris: OECD.
Arnold Wolfers, 1962. Discord and Collaboration: Essays on International Politics.
London: J. Hopkins Press.
Aswatini Raharto, 2002. “Indonesian Female Labour Migrants:Experiences Working
Overseas (A Case Study Among Returned Migrantsin West Java)”. Kertas
kerja dibentangkan di The 2002 IUSSP Regional Population Conference on
Southeast Asia’s Population in a Changing Asian Context. Bangkok, Thailand,
10-13 June 2002.
Castells, M., 1997. The Power of Identity. Blackwell. Oxford.
Hugo, G.J., “Indonesian Labor Migration to Malaysia; Trends and Policy
190 KANUN [DISEMBER 2014]
Implications” dlm. Southeast Asian Journal of Social Science 21:1, hlm.
36-72, 1993.
Kanapathy, V., 2006. “Migrant workers in Malaysia: an overview”. Kertas kerja
dibentangkan di The Workshop on an East Asian Cooperation Framework for
Migrant Labour, Kuala Lumpur, Malaysia, 6-7 Disember.
Kanapathy, V., 2008. “Controlling Irregular Migration: The Malaysian Experience”.
Kertas kerja dibentangkan di Regional Symposium on Managing Labour
Migration in East Asia at Singapore.
Kicinger, Anna, 2004. “International Migration as a Non-Traditional Security
Threat and the EU Responses to this Phenomenon”. Kertas kerja dibentangkan
di The 7th New Faces Conference: Competitive or Complementary? NATO
and EU Security Within An Ever Larger Europe, Berlin, 8-10 Oktober 2004.
Liow, J.C., 2000. “Malaysia’s Approach to Indonesian Migrant Labour” dlm. Mely
Caballero-Anthony, Ralf Emmers and Amitav Acharya (eds.) Non-Traditional
Security in Asia: Dilemmas in Securitization. Hampshire: Ashgate Publishing
Limited.
Lin Mei, 2006. “A Study on Indonesian Labour Migrants in Malaysia” dlm.
Institute of Chinese Study Working Paper Series No. 2006-11. Kuala Lumpur:
Universiti Malaya.
Ramasamy, P., 2004. “International Migration and Conflict: Foreign Labour in
Malaysia” dlm. Aris Ananta and Evi Nurvidya Arifin (eds.) International
Migration in Southeast Asia. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies.
“Pelancong Asing Pembawa HIV” dlm. Utusan Malaysia, 2 Februari 2002.
“Pendatang Asing Guna Dokumen Palsu Mohon Tentera” dlm. Berita Harian, 14
Mei 2008.
“RM 30.2 Juta Kos Usir PATI” dlm. Utusan Malaysia, 11 Disember 2009.
Shuto, M., 2006. “Labour Migration and Human Security” dlm. Harald Kleinschmidt
(ed.) Migration, Regional Integration and Human Security: The Formation
and Maintenance of Transnational Spaces. Hampshire: Ashgate Publishing
Limited, 205-224.
Wan Marzuki. “Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin Perlu Kawalan Drastik” dlm.
Utusan Malaysia, 8 Julai, 2008.
Weiner, M.,1990. Security, Stability and International Migration. Cambridge: MIT
Center for International Studies.
Zulaity Zulkiffli. “RM 11.6 Juta Kos Pengusiran PATI Tahun Lalu” dlm. Utusan
26 KANUN (2)
Permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin di Malaysia dari Aspek Sosial dan
Perundangan
Rusniah Ahmad, Mohamed Naiem Ajis dan Saadon Awang
191
Malaysia, 3 April 2009.
Zulaity Zulkiffli. “Estimate of HIV Carriers” dlm. New Strait Times, July 30, 1992.
Zulaity Zulkiffli. “Pekerja Ladang Kurang Sedar Bahaya HIV” dlm. Utusan
Malaysia, 2 Mei 2008.
Fly UP